Ikan laga sumber rezeki
|
ALOR SETAR 14 Jun – Ikan daripada spesies Betta Splenden atau lebih dikenali sebagai ikan laga adalah antara ikan yang popular di negara ini.
Turut disebut sebagai ikan karin di bahagian utara tanah air, ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri, tidak kira tua atau muda.
Menyedari potensi yang ada pada ikan ini, seorang anak muda menjadikan ikan laga sebagai sumber pendapatan utamanya.
Mohd. Zul Aziman Arifin, 24, yang mempunyai sijil dalam bidang elektrik tidak lagi menoleh ke belakang untuk menjadi seorang pembiak dan penjual ikan laga.
Jelasnya, sejak berumur 11 tahun lagi, minat terhadap ikan laga telah berputik memandangkan ayahnya juga adalah seorang pencinta ikan itu.
“Ikan laga yang dibeli oleh ayah saya ketika itu adalah daripada jenis half moon dan ikan tersebut cepat mati.
“Jadi, saya mula belajar sendiri cara-cara untuk membiakkan ikan tersebut kerana tidak mahu lagi membazirkan wang membeli ikan laga di kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang.
Menurutnya, dia turut menimba ilmu cara-cara untuk membiakkan ikan laga melalui pengusaha ikan hiasan yang mahir dalam teknik untuk membiakkan ikan laga.
“Banyak kali juga saya mencuba dan ada yang tidak menjadi namun saya tidak putus asa sehingga dapat teknik yang sesuai untuk membiakkan ikan laga jenis half moon.
“Semasa di sekolah menengah saya mula menjual ikan laga yang dibiakkan sendiri dan sehingga kini ikan laga menjadi sumber pendapatan saya,” katanya.
Zul memberitahu, selepas tamat pengajian dalam bidang elektrik pada 2005 dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Pada masa itu, katanya, seorang pengusaha ikan hiasan yang turut meminati ikan laga menyuruhnya menjalankan perniagaan ikan laga secara serius.
“Saya masih ingat kata-kata tauke Cina itu, dia kata lebih baik saya buat duit dengan benda yang saya minat iaitu ikan laga.
“Selepas itu, saya terus membeli 20 ekor ikan laga jenis half moon dari Kelantan dengan harga RM1,000 untuk dijadikan induk dan sehingga kini saya tidak menang tangan untuk membiakkan ikan laga yang dipesan oleh para pembeli,” katanya.
Jelasnya, ikan laga yang dibiakkan sendiri itu juga akan dijual di pasar pagi di sekitar Bukit Pinang dengan harga serendah RM0.80 hingga RM25.
“Ikan ini sentiasa ada peminatnya yang tersendiri dan saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang ini tidak pernah putus dan saya merancang untuk membesarkan lagi tempat pembiakan ikan laga ini.
“Saya juga ingin mengadakan kursus kepada mereka yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang pembiakan ikan laga ini,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ikan laga yang dibiakkan oleh Zul, boleh menelefonnya di talian 012-4447466.
sumber: Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment