Tuesday 29 May 2012


Red Copper HM
Gold Copper Halfmoon!!!
Female Halfmoon For Sale!!!
Red Copper HMPK
Black Green Lace For Sale!!!

Monday 28 May 2012

Ikan laga sumber rezeki




Mohd. Zul Azman Arifin melayani kanak-kanak yang turut menggemari ikan laga yang diternaknya di Kampung Bukit Pinang, Alor Setar. – utusan/Halim Khalid


ALOR SETAR 14 Jun – Ikan daripada spesies Betta Splenden atau lebih dikenali sebagai ikan laga adalah antara ikan yang popular di negara ini.
Turut disebut sebagai ikan karin di bahagian utara tanah air, ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri, tidak kira tua atau muda.
Menyedari potensi yang ada pada ikan ini, seorang anak muda menjadikan ikan laga sebagai sumber pendapatan utamanya.
Mohd. Zul Aziman Arifin, 24, yang mempunyai sijil dalam bidang elektrik tidak lagi menoleh ke belakang untuk menjadi seorang pembiak dan penjual ikan laga.
Jelasnya, sejak berumur 11 tahun lagi, minat terhadap ikan laga telah berputik memandangkan ayahnya juga adalah seorang pencinta ikan itu.
“Ikan laga yang dibeli oleh ayah saya ketika itu adalah daripada jenis half moon dan ikan tersebut cepat mati.
“Jadi, saya mula belajar sendiri cara-cara untuk membiakkan ikan tersebut kerana tidak mahu lagi membazirkan wang membeli ikan laga di kedai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Pinang.
Menurutnya, dia turut menimba ilmu cara-cara untuk membiakkan ikan laga melalui pengusaha ikan hiasan yang mahir dalam teknik untuk membiakkan ikan laga.
“Banyak kali juga saya mencuba dan ada yang tidak menjadi namun saya tidak putus asa sehingga dapat teknik yang sesuai untuk membiakkan ikan laga jenis half moon.
“Semasa di sekolah menengah saya mula menjual ikan laga yang dibiakkan sendiri dan sehingga kini ikan laga menjadi sumber pendapatan saya,” katanya.
Zul memberitahu, selepas tamat pengajian dalam bidang elektrik pada 2005 dia tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Pada masa itu, katanya, seorang pengusaha ikan hiasan yang turut meminati ikan laga menyuruhnya menjalankan perniagaan ikan laga secara serius.
“Saya masih ingat kata-kata tauke Cina itu, dia kata lebih baik saya buat duit dengan benda yang saya minat iaitu ikan laga.
“Selepas itu, saya terus membeli 20 ekor ikan laga jenis half moon dari Kelantan dengan harga RM1,000 untuk dijadikan induk dan sehingga kini saya tidak menang tangan untuk membiakkan ikan laga yang dipesan oleh para pembeli,” katanya.
Jelasnya, ikan laga yang dibiakkan sendiri itu juga akan dijual di pasar pagi di sekitar Bukit Pinang dengan harga serendah RM0.80 hingga RM25.
“Ikan ini sentiasa ada peminatnya yang tersendiri dan saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang ini tidak pernah putus dan saya merancang untuk membesarkan lagi tempat pembiakan ikan laga ini.
“Saya juga ingin mengadakan kursus kepada mereka yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang pembiakan ikan laga ini,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ikan laga yang dibiakkan oleh Zul, boleh menelefonnya di talian 012-4447466.
sumber: Utusan Malaysia Online

Red Black Copper Halfmoon
FOR SALE!!!
RM25



POTENSI IKAN LAGA

Malaysia mencatatkan kehadiran 25 spesies betta liar iaitu ikan hiasan, yang berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.

Laporan oleh Fishbase 2011 menyebut bahawa sebahagian besar ikan itu terdapat di Semenanjung Malaysia, lima spesies di Sarawak dan empat spesies di Sabah.

Daripada jumlah itu, beberapa jenis pula telah dikenalpasti berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.

Antara spesies yang telah dikenalpasti ialah Betta bellica, Betta coccina, Betta persephone, Betta livida, Betta pulchra, Betta fusca dan Betta pugnax.

Manakala peminat ikan betta ini termasuklah mereka dari Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan China.

Mengenai keunikan spesies betta ini ialah ia hanya ditemui di rantau Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand sahaja.

Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi, telah mengenalpasti beberapa spesies ikan hiasan tempatan terutama ikan betta yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan sama ada dalam atau luar negara, kata Pengarah FRI Glami Lemi, Zulkafli Abdul Rashid di Kuala Klawang baru-baru ini.

Maklumat mengenai potensi spesies tempatan sebagai ikan hiasan ini sebenarnya telah dikumpulkan sejak tahun 2000.

Menurut Zulkafli, FRI telah memulakan kajian dengan menjalankan aktiviti pengumpulan spesimen ikan dari habitat semulajadi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Spesimen ikan liar betta yang berjaya dikumpul akan dipelihara dan dijinakkan dalam tangki di makmal FRI Glami Lemi sehingga matang dan boleh membiak.

Setakat ini, 10 spesies betta telah dapat dijinak dan dibiakkan dalam makmal.

Zulkafli berkata, satu baka baru jenis Betta bellica, yang berasal dari hutan simpan paya gambut di Pagoh, Johor dan Sabak Bernam, Selangor, berjaya dibiak dan dijinakkan dalam tangki dan berpotensi besar untuk dipasarkan.

Spesies ini dilaporkan telah banyak terancam dan diharapkan usaha pembiakan dapat diteruskan pula oleh penternak yang berminat untuk tujuan komersial.

"Spesies ini juga dikenali sebagai ikan pelaga hijau, tempala atau sepilai oleh penduduk tempatan tapi kami menamakannya Betta Manja kerana sifatnya yang begitu manja ketika lapar," jelas beliau.

Keistimewaan ikan hiasan ini ialah ia tidak berlaga sesama sendiri seperti ikan pelaga Siam, selain mempunyai warna badan yang cantik, bercoklat gelap, sisik berwarna hijau berkilat, mata berwarna biru berkilat dan sirip ekor yang panjang berbentuk nyalaan lilin.

"Ia sangat jinak dan makan di atas jari pemiliknya. Spesies ini berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan," katanya.

Pegawai penyelidik kanan FRI Glami Lemi, Mohamad Zaini Suleiman pula berkata, ikan tersebut berpotensi dibiakkan dalam kurungan (tangki) sebab sepasang ikan ini boleh menghasilkan 200 ekor anak.

"Jadi, dalam tempoh enam atau tujuh bulan, saiznya mencecah kira-kira tiga setengah inci, dan boleh dipasarkan dengan harga RM5 seekor manakala induknya RM10 hingga RM15 seekor.

"Ia juga boleh dikomersialkan, dipelihara dalam tangki dan dijadikan peliharaan kesayangan sebab keistimewaan ikan ini ia boleh makan di tangan kita.

"Tidak mustahil pada masa hadapan, ikan ini boleh dijadikan sebagai ikan spa untuk urutan dan perubatan," katanya.

Pengarah teknikal dan pengeluaran Aquatics International Sdn. Bhd., Syed Abas Alattasberkata, sehingga kini belum ada penternak ikan Betta liar secara komersial di negara ini.

Pihaknya akan mengimport ikan ini dari Thailand sekitar 20,000 ke 30,000 ekor sebulan untuk dieksport semula ke negara lain.

"Memang kita dapat keuntungan tapi kalau boleh dikeluarkan secara komersial di Malaysia adalah lebih baik," katanya.

Sementara itu, satu kolokium sehari telah diadakan di FRI Glami Lemi baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan sasar akan potensi ikan Betta bagi meningkatkan pendapatan.

"Di samping menjana pendapatan, kolokium ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta tentang perlunya konservasi terhadap khazanah semulajadi kita yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang," kata Zulkafli.

Kolokium dengan tema 'Khazanah Warisan Penjan Kekayaan' itu diadakan untuk membentangkan kepada masyarakat terutama yang terlibat dalam industri perikanan mengenai kejayaan dalam penyelidikan perikanan.

sumber: Utusan Malaysia Online