|
Red Black Copper Halfmoon
FOR SALE!!!
RM25 |
POTENSI IKAN LAGA
Malaysia mencatatkan kehadiran 25 spesies betta
liar iaitu ikan hiasan, yang berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai
ramai peminat di seluruh dunia.
Laporan oleh Fishbase 2011 menyebut bahawa
sebahagian besar ikan itu terdapat di Semenanjung Malaysia, lima spesies di
Sarawak dan empat spesies di Sabah.
Daripada jumlah itu, beberapa jenis pula telah
dikenalpasti berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna,
keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.
Antara spesies yang telah dikenalpasti ialah
Betta bellica, Betta coccina, Betta persephone, Betta livida, Betta pulchra,
Betta fusca dan Betta pugnax.
Manakala peminat ikan betta ini termasuklah
mereka dari Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan dan
China.
Mengenai keunikan spesies betta ini ialah ia
hanya ditemui di rantau Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand
sahaja.
Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi,
telah mengenalpasti beberapa spesies ikan hiasan tempatan terutama ikan betta
yang sangat berpotensi untuk dikomersialkan sama ada dalam atau luar negara,
kata Pengarah FRI Glami Lemi, Zulkafli Abdul Rashid di Kuala Klawang
baru-baru ini.
Maklumat mengenai potensi spesies tempatan
sebagai ikan hiasan ini sebenarnya telah dikumpulkan sejak tahun 2000.
Menurut Zulkafli, FRI telah memulakan kajian
dengan menjalankan aktiviti pengumpulan spesimen ikan dari habitat semulajadi
seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Spesimen ikan liar betta yang berjaya dikumpul
akan dipelihara dan dijinakkan dalam tangki di makmal FRI Glami Lemi sehingga
matang dan boleh membiak.
Setakat ini, 10 spesies betta telah dapat dijinak
dan dibiakkan dalam makmal.
Zulkafli berkata, satu baka baru jenis Betta
bellica, yang berasal dari hutan simpan paya gambut di Pagoh, Johor dan
Sabak Bernam, Selangor, berjaya dibiak dan dijinakkan dalam tangki dan
berpotensi besar untuk dipasarkan.
Spesies ini dilaporkan telah banyak terancam dan
diharapkan usaha pembiakan dapat diteruskan pula oleh penternak yang berminat
untuk tujuan komersial.
"Spesies ini juga dikenali sebagai ikan pelaga
hijau, tempala atau sepilai oleh penduduk tempatan tapi kami menamakannya Betta
Manja kerana sifatnya yang begitu manja ketika lapar," jelas beliau.
Keistimewaan ikan hiasan ini ialah ia tidak
berlaga sesama sendiri seperti ikan pelaga Siam, selain mempunyai warna badan
yang cantik, bercoklat gelap, sisik berwarna hijau berkilat, mata berwarna biru
berkilat dan sirip ekor yang panjang berbentuk nyalaan lilin.
"Ia sangat jinak dan makan di atas jari
pemiliknya. Spesies ini berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira
kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan,"
katanya.
Pegawai penyelidik kanan FRI Glami Lemi,
Mohamad Zaini Suleiman pula berkata, ikan tersebut berpotensi dibiakkan
dalam kurungan (tangki) sebab sepasang ikan ini boleh menghasilkan 200 ekor
anak.
"Jadi, dalam tempoh enam atau tujuh bulan,
saiznya mencecah kira-kira tiga setengah inci, dan boleh dipasarkan dengan harga
RM5 seekor manakala induknya RM10 hingga RM15 seekor.
"Ia juga boleh dikomersialkan, dipelihara dalam
tangki dan dijadikan peliharaan kesayangan sebab keistimewaan ikan ini ia boleh
makan di tangan kita.
"Tidak mustahil pada masa hadapan, ikan ini boleh
dijadikan sebagai ikan spa untuk urutan dan perubatan," katanya.
Pengarah teknikal dan pengeluaran Aquatics
International Sdn. Bhd., Syed Abas Alattasberkata, sehingga kini belum
ada penternak ikan Betta liar secara komersial di negara ini.
Pihaknya akan mengimport ikan ini dari Thailand
sekitar 20,000 ke 30,000 ekor sebulan untuk dieksport semula ke negara lain.
"Memang kita dapat keuntungan tapi kalau boleh
dikeluarkan secara komersial di Malaysia adalah lebih baik," katanya.
Sementara itu, satu kolokium sehari telah
diadakan di FRI Glami Lemi baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada
golongan sasar akan potensi ikan Betta bagi meningkatkan pendapatan.
"Di samping menjana pendapatan, kolokium ini juga
diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta tentang perlunya konservasi
terhadap khazanah semulajadi kita yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada
generasi akan datang," kata Zulkafli.
Kolokium dengan tema 'Khazanah Warisan Penjan
Kekayaan' itu diadakan untuk membentangkan kepada masyarakat terutama yang
terlibat dalam industri perikanan mengenai kejayaan dalam penyelidikan
perikanan.
sumber: Utusan Malaysia Online